Penghantaran maklumat terperingkat menggunakan Perkhidmatan MySCUC atau Secure Cell. MySCUC merupakan salah satu perkhidmatan MyGovUC 2.0 yang disediakan untuk tujuan penghantaran maklumat rasmi dan data terperingkat secara selamat kepada pengguna. MySCUC berfungsi sebagai medium penyimpanan dokumen berklasifikasi sulit dan terhad sebelum dihantar kepada penerima melalui pautan pada e-mel yang menggunakan fungsi confidential mode. Setiap dokumen yang dikongsi melalui pautan e-mel akan dilindungi dengan fungsi pengesahan kata laluan dan penetapan tarikh tamat tempoh pautan tersebut. Saiz ruang storan sebanyak 5GB disediakan bagi setiap pengguna MyGovUC 2.0 untuk menyimpan dokumen dalam MySCUC. Walaubagaimanapun, dokumen yang berada di MySCUC akan terhapus secara automatik selepas 15 hari dari tarikh dokumen dimuat naik.
Perkhidmatan MySCUC menggunakan fungsi confidential mode pada e-mel bagi membolehkan penghantar menetapkan tarikh tamat tempoh kandungan e-mel yang ingin dihantar. Selain itu, confidential mode turut melindungi kandungan e-mel yang dihantar daripada dimajukan (forward), disalin (copy), dicetak (print) dan dimuat turun (download) oleh pihak tertentu yang boleh mendatangkan risiko ancaman dan bahaya.
Pengguna MyGovUC 2.0 boleh mengakses perkhidmatan MySCUC di Google apps melalui menu log masuk solusi baharu pada Portal Rasmi MyGovUC 2.0 atau log masuk akaun Google Workspace (GWS) yang menyokong fungsi Single Sign-On (SSO).