Sistem Penghantaran Dokumen Sulit dan Terhad (SPDT)
Sistem Penghantaran Dokumen Sulit dan Terhad (SPDT) merupakan salah satu perkhidmatan MyGovUC yang disediakan untuk tujuan penghantaran maklumat rasmi dan data terperingkat secara selamat kepada pengguna. SPDT berfungsi sebagai medium penyimpanan sementara bagi dokumen berklasifikasi sulit dan terhad melalui pautan pada e-mel yang menggunakan fungsi confidential mode. Setiap dokumen yang dikongsi melalui pautan e-mel akan dilindungi dengan fungsi pengesahan kata laluan dan penetapan tarikh tamat tempoh pautan tersebut. Saiz ruang storan sebanyak 5GB disediakan bagi setiap pengguna untuk menyimpan dokumen. Tempoh penyimpanan dokumen adalah selama 14 hari dari tarikh dokumen dikongsikan. Dokumen akan dihapuskan secara automatik selepas 15 hari.
Perkhidmatan SPDT digunakan bersama fungsi confidential mode pada e-mel bagi membolehkan penghantar menetapkan tarikh tamat tempoh kandungan e-mel yang ingin dihantar. Selain itu, confidential mode turut melindungi kandungan e-mel yang dihantar daripada dimajukan (forward), disalin (copy), dicetak (print) dan dimuat turun (download) oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh mendatangkan risiko ancaman dan bahaya.
Pengguna MyGovUC boleh mengakses perkhidmatan SPDT melalui menu 9 dots akaun Google Workspace (GWS) dan melalui Portal Rasmi MygovUC yang menyokong fungsi Single Sign-On (SSO).